Tuesday 16 August 2011

Private Key dan Public Key

Dalam menghantar maklumat melalui rangkaian, beberapa ciri keselamatan perlu diaplikasikan.  Ini bagi mengelakkan daripada orang ketiga (eavesdropper) daripada mencuri maklumat yang sedang dihantar.  Dalam posting yang lepas, saya telah menunjukkan kaedah yang mudah iaitu kaedah shift-keying dimana maklumat telah diubah atas persetujuan penghantar dan penerima.  Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan menggunakan kaedah tersebut seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.


Satu kaedah yang lebih baik adalah dengan menggunakan kaedah Private Key dan Public Key.  Untuk kefahaman yang mudah, anggaplah Private Key ini seperti sebatang anak kunci dan Public Key ini sebagai sebiji mangga solex.  Private Key (anak kunci) digunakan untuk membuka Public Key (mangga solex).  Kedua-dua Private Key dan Public Key ini dimiliki oleh penerima (receiver).

Apabila penghantar (sender) hendak menghantar maklumat kepada penerima (receiver) :

  1. Penerima akan menghantar satu Public Key kepada penghantar.  
  2. Penghantar akan menggunakan Public Key ini untuk mengunci maklumat tersebut.
  3. Penghantar akan menghantar maklumat yang telah dikunci menggunakan Public Key tadi kepada penerima.
  4. Penerima membuka Public Key tadi menggunakan Private Key yang dimilikinya dan seterusnya membaca maklumat yang telah diterima.


Saya juga sertakan slide berkenaan Public Key dan Public Key seperti dibawah untuk pemahaman yang lebih mudah.




Begitulah secara ringkas berkenaan konsep Public Key dan Private Key.  Semoga anda dapat memahami konsep asas ini.