Monday 3 October 2011

Konsep Asas Subnetting

Dalam posting yang lepas, kita telah membincangkan tentang Pengalamatan IP untuk Host, Rangkaian dan juga Broadcast. Untuk refresh semula... 

Jika kita mempunyai alamat IP 172.16.0.5, kita mengetahui bahawa:
  1. Alamat IP tersebut adalah dalam Class B: Oktet 1 mempunyai nilai 172, iaitu terletak di dalam julat Alamat IP Class B
  2. 172.16.0.5 adalah Host: Oktet 4 tidak bernilai 0 atau 255
  3. Alamat rangkaian/ ID Rangkaian adalah 172.16.0.0: Ambil kira oktet yang diperuntukkan untuk Rangkaian sahaja. Sifarkan oktet yang diperuntukkan untuk bahagian Host. (Alamat IP Host 172.16.0.5 adalah milik kepada rangkaian ini)
  4. Alamat Broadcast adalah 172.16.0.255: Untuk alamat IP Broadcast, Oktet 4 sentiasa bernilai 255
Baiklah, jika kita mempunyai satu alamat IP, 172.16.0.0, ia menyokong pengalamatan IP sebanyak 65 534 Host. bayangkan jika kesemua Host ini berada di dalam satu rangkaian yang sama, ia akan menjadi satu rangkaian yang amat besar seperti di bawah.

Rangkaian Class B

Apa yang akan terjadi adalah ia akan menjadi satu rangkaian yang tidak efisien, sesak dan tidak selamat. ini kerana kesemua Host di dalam rangkaian tersebut berkongsi Domain Perlanggaran (Collision Domain) dan Domain Broadcast (Broadcasting Domain) yang sama. Sebagai contoh, jika satu daripada 65 534 Host tersebut membuat Broadcast dengan cara perkongsian fail (File Sharing), kesemua Host di dalam rangkaian tersebut akan berupaya melihat file yang telah dikongsikan itu. Ini kerana, paket Broadcast tersebut sampai kepada setiap Host di dalam rangkaian tersebut. Bagaimana jika ada 100, 1000 atau 10 000 Host yang berkongsi fail? Sudah tentunya Rangkaian akan menjadi terlampau sesak.

Untuk mengelakkan kesesakan Rangkaian, Domain Perlanggaran dan Domain Broadcast ini harus dipecahkan menjadi lebih kecil supaya ia lebih mudah diurus. 

Proses memecahkan rangkaian yang besar menjadi rangkaian yang lebih kecil dinamakan Subnetting.  

Ia boleh dilakukan dengan membuat sempadan diantara rangkaian-rangkaian kecil tersebut dengan menggunakan Penghala (Router) seperti di bawah.

Memecahkan Rangkaian menjadi lebih kecil

Daripada gambar di atas, rangkaian 172.16.0.0 telah dipecahkan menjadi rangkaian-rangkaian kecil bermula daripada 172.16.1.0, 172.16.2.0 hinggalah ke 172.16.255.0.

Setelah rangkaian yang besar tadi telah dipecahkan menjadi kecil, nampak seperti masalah kita telah diselesaikan. Malangnya, ia tidak begitu. Penghala akan membaca alamat IP kedua-dua rangkaian, 172.16.1.0 dan 172.16.2.0 dan mentafsirkan bahawa ia adalah di dalam Class B.

Dalam Class B, Oktet 1 dan Oktet 2 diperuntukkan untuk Rangkaian. Oktet 3 dan Oktet 4 pula adalah untuk Host. Oleh itu, untuk mencari ID Rangkaian, Penghala akan mensifarkan Oktet 3 dan Oktet 4 kerana ia adalah untuk Host. Hanya Oktet 1 dan Oktet 2 yang diambil kira. Lihat bagaimana Penghala mentafsir rangkaian seperti di bawah:

Rangkaian A: 172.16.1.0
  • ID rangkaian: 172.16.0.0
Rangkaian B: 172.16.2.0
  • ID Rangkaian: 172.16.0.0
Oleh itu, dari segi pentafsiran Penghala, kedua-dua rangkaian kecil ini masih berada di dalam rangkaian yang sama! Di dalam Jadual Penghalaan (Routing Table), kedua-dua rangkaian kecil tersebut masih di dalam rangkaian yang sama, seperti di tunjukkan di dalam kotak merah dalam gambar di bawah.

Rangkaian 172.16.1.0 dan 172.16.2.0 masih berada di dalam Rangkaian yang sama

Maka, untuk menyelesaikan masalah ini, disinilah datangnya penggunaan Subnetmask (Topeng lalai).

Dalam posting seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana Subnetmask dapat mengasingkan rangkaian tersebut menjadi rangkaian yang lebih kecil.

Semoga anda faham konsep asas Subnetting pada posting ini.  Jika anda tidak begitu faham, baca berulang-ulang kali atau tinggalkan komen


Jika anda membaca posting ini melalui Facebook, mungkin beberapa item di dalam posting tidak dapat dipaparkan.  Untuk melihat paparan penuh, anda boleh ke http://najwankhambari.blogspot.com/.